SHAH ALAM, 19 JUN: Gudang Makanan Selangor dijangka mampu menyediakan stok penimbal bagi lima makanan asas menjelang Disember 2026 menerusi peruntukan RM50 juta di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sehingga kini, Gudang Makanan Selangor telah mewujudkan stok penimbal sebanyak 3,750 tan metrik, bersamaan 7.93 peratus daripada keperluan bulanan bagi 30 peratus rakyat Selangor.
"Dengan sasaran untuk menambahkan sebanyak 3,500 tan metrik beras melalui Gudang Makanan Selangor, stok penimbal beras dapat ditingkatkan kepada 15.34 peratus daripada keperluan bulanan 30 peratus rakyat Selangor.
"Selain itu, Gudang Makanan Selangor bakal berupaya menyediakan stok penimbal menerusi pembelian 1,000 tan metrik ayam, 100 tan metrik daging, 800 tan metrik ikan dan 150 tan metrik minyak masak menjelang Disember 2026," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah (JER) di 779 lokasi dan memberi manfaat kepada 3.1 juta rakyat Selangor.
"JER dilaksanakan dua kali sebulan di setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri yang sudah pun bermula sejak Mei dan akan berlangsung sehingga Disember 2026.
"JER sebagai sebuah program sudah menjadi sinonim dengan tekad Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan pendapatan golongan peniaga kedai runcit di negeri ini," katanya.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan sebagai tindak balas terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.
Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat serta sektor perniagaan menghadapi tekanan kos akibat gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.







