Pemandu bas ekspres memandu secara berbahaya direman empat hari

21 Apr 2026, 3:39 AM
Pemandu bas ekspres memandu secara berbahaya direman empat hari

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pemandu bas ekspres direman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah selepas tular memandu secara berbahaya dan didapati positif dadah.

Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek berusia 53 tahun.

Suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan bahan terlarang ke dalam badan.

Terdahulu, lelaki terbabit tiba di Kompleks Mahkamah Alor Gajah kira-kira jam 9 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga, lapor Harian Metro.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan suspek memandu dalam keadaan ‘lalok’ serta menggunakan sebelah tangan ketika membawa penumpang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah.

Menurutnya, lelaki berstatus duda itu hadir sekitar jam 12 tengah hari sebelum dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk tindakan lanjut dan permohonan reman.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 15 April kira-kira jam 3.50 pagi ketika suspek yang mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai pemandu bas membawa 13 penumpang dari Ipoh ke Johor Bahru.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif bahan terlarang,” katanya.

Rakaman video berdurasi satu minit 20 saat yang tular sebelum ini memaparkan suspek memandu dalam keadaan bersandar ke belakang serta hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan bergerak pada waktu malam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.