Sultan, Permaisuri berkenan hadir majlis santapan sempena sidang DNS

20 Apr 2026, 3:58 PM
Sultan, Permaisuri berkenan hadir majlis santapan sempena sidang DNS
Sultan, Permaisuri berkenan hadir majlis santapan sempena sidang DNS

SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Hotel Concorde di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Speaker DNS Lau Weng San.

Turut berkenan berangkat mencemar duli adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, barisan EXCO, Ahli Dewan Negeri dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Weng San dalam sembah ucapannya berkata dalam usaha memacu transformasi digital menyeluruh, sistem e-sidang yang mula diperkenal tahun lalu dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada sidang DNS kedua tahun ini.

“DNS kini berada di barisan hadapan dalam memacu transformasi digital yang holistik apabila sistem 'e-Sidang' mula dilaksanakan secara berfasa dalam pengurusan harian dewan bermula pada tahun 2025.

“Justeru, sistem e-sidang dijangka dilaksanakan secara sepenuhnya pada sidang kedua tahun ini,” katanya.

Menurut Weng San, dalam mendepani inovasi masa hadapan, DNS turut meneroka sempadan baharu dengan menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) dalam penghasilan Hansard.

“Inisiatif ini merupakan sinergi strategik bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) melalui program 'Teraju AI Selangor'.

“Pengintegrasian teknologi AI dalam proses transkripsi ini bukan sahaja memendekkan tempoh penyediaan hansard, malah menjamin ketepatan dan melengkapi sistem carian Hansard elektronik yang sedang dibangunkan di portal rasmi DNS,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.