SHAH ALAM, 7 OGOS: Kedudukan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari akan ditentukan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Lau Weng San selepas semakan lanjut termasuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu merupakan bidang kuasa Speaker, termasuk untuk menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya percaya Speaker akan memanggil beliau, membuat semakan dengan pihak Insolvensi dan mengesahkan kedudukan beliau itu dapat dipastikan dengan Weng San akan mengumumkan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan DNS di sini, hari ini.
Amirudin berkata sebarang keputusan berhubung pengosongan kerusi juga terletak pada Speaker, manakala sekiranya berlaku kekosongan, urusan pilihan raya pula berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini dilaporkan membatalkan Perintah Kebankrapan terhadap Abdul Rashid selepas membenarkan permohonannya di bawah Seksyen 105 Akta Insolvensi 1967.
Berdasarkan dokumen perintah mahkamah bertarikh 7 Ogos 2026, Perintah Kebankrapan yang dikenakan terhadap Abdul Rashid pada 1 April 2026 dibatalkan, manakala kos permohonan ditanggung oleh penghutang penghakiman.
Permohonan itu difailkan Abdul Rashid selaku penghutang penghakiman terhadap Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemiutang penghakiman.
Sebelum ini, terdapat laporan media yang menyatakan Abdul Rashid telah terlepas daripada kedudukan yang boleh menyebabkan kekosongan kerusi susulan pembatalan Perintah Kebankrapan berkenaan.







