JAIS baik pulih pendawaian elektrik 14 sekolah agama menengah

20 Apr 2026, 2:21 PM
JAIS baik pulih pendawaian elektrik 14 sekolah agama menengah

SHAH ALAM, 20 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan melaksanakan kerja penyelenggaraan serta penggantian sistem pendawaian elektrik 14 buah sekolah agama menengah di negeri ini.

Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata daripada jumlah tersebut, lapan buah sekolah akan dilaksanakan kerja-kerja baik pulih sistem elektrik bagi fasa awal.

“Kerja-kerja pendawaian diperlukan berikutan bangunan sekolah berkenaan telah berusia melebihi 15 tahun dan sesetengah daripadanya lebih 35 tahun. Tahap penggunaan semasa memerlukan tindakan proaktif demi keselamatan pelajar.

“Oleh itu, kerja-kerja baik pulih ini telah disusun mengikut tahap keutamaan kritikal dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor. Kerja baik pulih dijadual bermula Mei dan siap sekitar Ogos atau September,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan penyelenggaraan akan memfokuskan kepada blok-blok yang mempunyai kepadatan penggunaan tinggi khususnya blok asrama, dewan makan, blok pentadbiran, akademik,bengkel, kantin dan surau serta.

“Skop kerja melibatkan menaik taraf bekalan elektrik mengikut keperluan semasa, penggantian serta naik taraf Peti Suis Utama Elektrik (MSB) dan Peti Agihan Tambahan (SSB), kabel sub-main dan pendawaian elektrik,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan 2026 memaklumkan JAIS melalui Bahagian Pendidikan Islam menyelia 246 buah sekolah agama di seluruh negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata JAIS mendapati 13 buah sekolah telah berusia lebih 20 tahun dan dikenal pasti mengalami masalah pendawaian elektrik yang merupakan antara punca berlakunya kebakaran.

Berikutan itu, beliau menjelaskan peruntukan berjumlah RM8 juta diperlukan bagi menggantikan sistem pendawaian eletrik yang telah uzur dan rosak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.