SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor bersedia melaksanakan subsidi pengangkutan awam, khususnya kepada pengguna van transit atas permintaan (DRT).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata perkhidmatan berkenaan merupakan projek rintis MBI bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam.
“Sebagai contoh, sebelum ini dalam salah satu inisiatif kita adalah DRT, iaitu penyediaan van untuk kegunaan penduduk yang memerlukan.
“Namun susulan situasi semasa, Kerajaan Negeri bersama MBI melihat keperluan menukar pendekatan kepada kupon RM30 untuk kumpulan sasaran bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Tautan Muhibah Kumpulan MBI Selangor yang diadakan di Pusat Konvesyen Setia City di sini, hari ini.
Perkhidmatan van DRT merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam, sekali gus menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan sempit.
Projek Rintis DRT yang mula diperkenalkan pada 2023 ini dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan dikawal selia oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, insentif penggunaan pengangkutan awam sebanyak RM30 sebulan disediakan kepada 50,000 warga Selangor selama enam bulan, melibatkan peruntukan sebanyak RM10.4 juta.
Langkah tersebut bertujuan mengurangkan kos perjalanan harian melibatkan perkhidmatan seperti van DRT, bas transit dan kereta api.








