KUALA LUMPUR, 15 OKT: Selangor menyasarkan pelaburan hijau berjumlah RM63.7 bilion menjelang 2035 menerusi Agenda Ekonomi Hijau Selangor (SAGE) 2025–2035 yang diperkenalkan pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), hari ini.
Pelan hala tuju itu turut menetapkan sasaran kapasiti penjanaan tenaga hijau sehingga 7,414 megawatt (MW) bagi memperkukuh keselamatan tenaga serta menyokong peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop berkata, peralihan kepada ekonomi hijau perlu memberikan manfaat lebih luas, termasuk mewujudkan peluang perniagaan, meningkatkan daya saing industri dan memperbaiki kualiti hidup rakyat.
Terdahulu, pra-pelancaran SAGE 2025–2035 disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena majlis penutup Selangor Investment Forum (SIF) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Hadir sama EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

“Nilai sebenar ekonomi hijau terletak pada keupayaannya untuk mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan, memperkukuh daya saing industri dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Melalui SAGE, kita sedang membina asas strategik yang menghubungkan aspirasi kelestarian Selangor dengan peluang pelaburan serta pembangunan ekonomi jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan bertulis.
Menurutnya, peralihan hijau turut berpotensi membantu sektor perniagaan mengurangkan penggunaan sumber, mengurus kos operasi dan meningkatkan produktiviti.
Pada masa sama, pelabur berpeluang meneroka bidang baharu termasuk penyelesaian tenaga bersih, pemulihan sumber, infrastruktur lestari dan pengangkutan rendah karbon, selain membuka ruang penyertaan lebih besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Saipolyazan berkata kejayaan agenda ekonomi hijau tidak seharusnya dinilai berdasarkan nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pembangunan perniagaan, peningkatan kecekapan dan manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat.
“Selaras dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), SAGE berhasrat menghubungkan keutamaan ekonomi Selangor dengan pelaburan, infrastruktur dan keupayaan perindustrian yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan mampan dalam jangka panjang,” katanya.







