Keputusan tangguh SUKMA ditentukan jawatankuasa tertinggi kejohanan - MB

20 Apr 2026, 10:18 AM
Keputusan tangguh SUKMA ditentukan jawatankuasa tertinggi kejohanan - MB

SHAH ALAM, 20 APRIL: Keputusan sama ada akan menangguhkan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 ditentukan oleh jawatankuasa tertinggi kejohanan tersebut.

Dato’ Menteri Besar berkata walaupun memahami kebimbangan dizahirkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung keperluan menangguhkan temasya dwitahunan itu susulan ketidaktentuan global, keputusan tetap berada di bawah bidang kuasa jawatankuasa berkenaan.

“Sukan dwitahunan itu ditentukan oleh jawatankuasa tertinggi SUKMA, bukan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri lazimnya memohon untuk menjadi tuan rumah, dan selepas diluluskan oleh jawatankuasa, kita melaksanakan (penganjuran) berdasarkan mandat yang diberikan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menghadiri program Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor yang mencadangkan SUKMA 2026, yang dijadual berlangsung pada Ogos dan September ini, ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai serta Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) baharu siap.

Baginda bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklum balas daripada Ahli Dewan Negeri semasa persidangan Dewan Negeri Selangor yang sedang berlangsung, selain pandangan pihak berkepentingan lain sebelum meneliti perkara itu.

Beliau turut memaklumkan cadangan menangguhkan temasya berkenaan pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA sebelum ini, yang mengenal pasti beberapa aspek perlu dipertimbangkan termasuk kos.

“Sebagai contoh, terdapat pihak yang telah menanggung kos yang besar dan sekiranya acara tidak diteruskan seperti dirancang, terdapat risiko kehilangan deposit. Itu antara kebimbangan yang dibangkitkan sebelum ini.

“Kita akan menilai perkara ini secara menyeluruh. Walaupun kita amat menghargai cadangan Tuanku, khususnya dari segi penjimatan kos, kita juga perlu menilai semula implikasi kewangan secara keseluruhan.

“Jika jumlah kos masih terlalu tinggi, keputusan perlu dibuat berdasarkan data dan realiti sebenar, bukan semata-mata persepsi.”

Amirudin menambah SUKMA merupakan platform penting untuk mengenal pasti atlet yang akan mewakili negara ke Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.