SHAH ALAM, 18 APRIL: Di sebalik cabaran krisis global yang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dilihat turut memberi kelegaan khusus kepada pelajar dan keluarga di negeri ini.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata antara fokus utama pakej itu ialah inisiatif pemberian sarapan percuma kepada ratusan pelajar di seluruh Selangor bagi memastikan keperluan asas mereka sentiasa terjaga.

“Saya memuji Kerajaan Negeri yang mengambil tindakan untuk memberi makanan percuma kepada pelajar sekolah di seluruh Selangor menunjukkan kerajaan kita sangat efektif dan prihatin kesan kepada masalah global ini.
“Lebih 850 sekolah itu baik sekolah menengah, sekolah rendah. Ini menunjukkan satu usaha yang sangat murni dan sangat baik,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu akan dilaksanakan secara tersusun dengan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan bantuan sampai kepada pelajar yang memerlukan di seluruh negeri.
“Kita akan menggunakan PBT sebagai perantara. Jadi mungkin dalam masa terdekat ini kita akan mengumumkan perincian atau mungkin semasa sidang Dewan Negeri nanti,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi menghadapi kesan krisis geopolitik di Asia Barat yang turut memberi tekanan kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Fasa pertama pakej yang bermula Jun ini memberi tumpuan kepada aspek paling dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk pengukuhan bekalan makanan dan usaha mengawal inflasi agar harga barangan tidak meningkat secara keterlaluan.
Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, pakej yang disusun semula mengikut keperluan semasa itu turut menggunakan peruntukan negeri dalam Belanjawan 2026 bagi membantu golongan rentan secara lebih bersasar.
Antara inisiatif lain termasuk tambahan RM5 juta bagi pelaksanaan Jelajah Ehsan Rahmah yang akan diadakan setiap bulan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan asas pada harga berpatutan.
Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan bantuan sarapan percuma di 873 sekolah melalui semua PBT bermula Ogos, yang dijangka memberi manfaat kepada ribuan pelajar setiap hari.
Selain itu, Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan turut diperkenalkan kepada 50,000 penerima bagi membantu keluarga mengurangkan tekanan kos sara hidup harian.








