SHAH ALAM, 19 JUN: Program Kerjaya Selangor akan diperkasa bagi membantu golongan yang kehilangan pekerjaan susulan ketidaktentuan geopolitik global menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa Kedua yang diumumkan Kerajaan Negeri.
EXCO Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman berkata langkah itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat, khususnya golongan B40, terus mendapat sokongan ketika berdepan cabaran ekonomi semasa.
Menurutnya, usaha berkenaan akan memberi tumpuan kepada padanan pekerjaan, penempatan semula tenaga kerja serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada individu yang terkesan.

“Kawasan berkepadatan tinggi seperti Shah Alam dan Petaling akan diberi keutamaan kerana kawasan ini antara yang paling terkesan dengan perkembangan ekonomi global ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Papparaidu berkata pihaknya turut memperkukuh kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan proses padanan pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tepat.
Katanya, data terperinci yang dimiliki PERKESO mengenai sektor industri, majikan dan pencari kerja dapat dimanfaatkan untuk membantu rakyat mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan, kemahiran serta pengalaman mereka.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi Program Kerjaya Selangor yang memberi keutamaan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun ini.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama PERKESO serta syarikat dalam sektor peruncitan, pembuatan dan logistik itu menyasarkan penglibatan 30,000 pencari kerja di seluruh Selangor sepanjang tahun ini.










