KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama 2026 berdasarkan anggaran awal, mencerminkan asas ekonomi yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan peningkatan ketidaktentuan global, khususnya kenaikan harga minyak susulan ketegangan geopolitik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembuatan mengekalkan momentum positif dalam dua bulan pertama 2026, dengan pengeluaran berkembang masing-masing sebanyak 7.3 peratus dan 4.2 peratus, didorong terutamanya oleh industri berorientasikan eksport.
Beliau berkata perbelanjaan bermusim sempena Tahun Baharu Cina, selain persiapan menghadapi Ramadan dan Aidilfitri, terus menyokong aktiviti ekonomi secara keseluruhan.
“Faktor ini, seiring penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelaksanaan fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam, menyumbang kepada pertumbuhan stabil dalam jualan perdagangan pengedaran, yang meningkat sebanyak 7.3 peratus pada Januari dan 5.3 peratus pada Februari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.






