Laut China Selatan: Gangguan maritim boleh ancam kestabilan ekonomi Malaysia

13 Okt 2026, 7:22 AM
Laut China Selatan: Gangguan maritim boleh ancam kestabilan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Sebarang gangguan, insiden yang mengancam keselamatan atau perundangan yang tidak jelas di Laut China Selatan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi Malaysia, rantaian bekalan negara serta keterjaminan makanan serantau, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Laut China Selatan 2026 anjuran Institut Maritim Malaysia (MIMA) di sini hari ini, beliau berkata usaha mengekalkan kebebasan pelayaran serta perdagangan yang sah tanpa sebarang halangan di perairan berkenaan merupakan kepentingan asas negara dan bukannya sekadar prinsip perundangan semata-mata.

“Laut China Selatan merupakan penghubung fizikal antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Perairan ini penting dalam menyokong perdagangan domestik, menjadi nadi kepada sektor tenaga luar pesisir pantai negara serta menghubungkan industri kita dengan rantaian nilai global,” katanya.

Hasbi berkata lebih 96.4 peratus daripada keseluruhan perdagangan antarabangsa Malaysia juga melibatkan penggunaan pengangkutan laut.

Beliau berkata pelabuhan di Malaysia mengendalikan 33.07 juta unit bersamaan kontena 20 kaki (TEU) pada 2025, dengan Pelabuhan Klang merekodkan 15.14 juta TEU, sekali gus menduduki tempat ke-10 sebagai pelabuhan kontena paling sibuk di dunia dalam senarai Lloyd’s List One Hundred Ports 2026.

Hasbi berkata Pelabuhan Tanjung Pelepas pula mengendalikan 14.03 juta TEU, menjadikannya terminal kontena tunggal pertama di negara ini yang melepasi paras 14 juta TEU.

“Kesalinghubungan yang tinggi terhadap laluan ini juga bermakna sebarang gangguan di Laut China Selatan akan serta-merta mengancam kestabilan ekonomi negara, rantaian bekalan nasional dan keterjaminan makanan serantau,” katanya.

Beliau berkata konflik di Laut Hitam, Laut Merah dan Selat Hormuz membuktikan bagaimana ketegangan geopolitik mampu menjejaskan perdagangan maritim, meningkatkan kos pengangkutan dan insurans, memaksa kapal menggunakan laluan alternatif serta mencetuskan inflasi.

Hasbi turut menekankan risiko ditimbulkan oleh kapal armada gelap atau armada bayangan yang menggunakan taktik perkapalan mengelirukan, termasuk melakukan pemindahan muatan antara kapal secara haram, menyahaktif Sistem Pengenalan Automatik (AIS) serta beroperasi tanpa perlindungan insurans yang sah atau mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

“Pengajaran yang perlu diambil oleh rantau ini amat jelas, iaitu daya tahan tidak boleh dibina hanya sebagai tindak balas terhadap krisis, sebaliknya perlu diperkukuh secara proaktif,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan bersama-sama pihak Jabatan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mempergiat pemeriksaan kapal serta operasi risikan maritim bagi mengesan dan membendung aktiviti perkapalan haram.

Langkah berkenaan merangkumi penggunaan Sistem Perkhidmatan Trafik Kapal (VTS) canggih, pengesahan pendaftaran dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) serta semakan silang pangkalan data pelabuhan bersepadu, selaras dengan Resolusi IMO A.1192(33).

“Kita tidak akan mengizinkan perairan atau pelabuhan negara ini menjadi tempat perlindungan selamat bagi aktiviti perkapalan yang tidak mematuhi peraturan sehingga membahayakan nyawa orang awam yang tidak bersalah serta mencemarkan alam sekitar marin kita,” katanya.

Hasbi berkata pertikaian di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman melalui dialog, sikap menahan diri serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Persidangan Laut China Selatan kali kesembilan bertemakan “South China Sea 2026: Rules, Resilience, and Regional Order” itu menghimpunkan penggubal dasar, diplomat, ahli akademik, wakil industri dan pakar maritim bagi membincangkan cabaran maritim serantau serta kerjasama dalam bidang berkenaan.

Turut hadir ialah wakil Suruhanjaya Tinggi Australia, Delegasi Kesatuan Eropah, Kedutaan Jepun, Kedutaan Amerika Syarikat, Kedutaan Republik Rakyat China serta Suruhanjaya Tinggi Kanada.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.