Ekonomi Malaysia kukuh, KDNK 2025 catat 4.9 peratus, ringgit mengukuh

20 Jan 2026, 4:57 AM
Ekonomi Malaysia kukuh, KDNK 2025 catat 4.9 peratus, ringgit mengukuh

SHAH ALAM, 20 JAN: Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi positif apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 4.9 peratus pada 2025, melepasi unjuran awal sebanyak 4.8 peratus, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keyakinan pasaran turut diterjemahkan melalui pengukuhan nilai ringgit kepada RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat, selain indeks Bursa Malaysia melonjak ke paras 1,700 mata, tertinggi dalam tempoh lima tahun.

“Pada masa sama, kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh 11 tahun sehingga November 2025,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad, di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kesan langsung kestabilan politik, kejelasan serta kesinambungan dasar, di samping komitmen berterusan perkhidmatan awam, komuniti perniagaan dan pelabur dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Pada masa sama, beliau yang juga menteri kewangan memaklumkan hala tuju ekonomi negara kini semakin jelas, antaranya melalui pelaksanaan pelan induk perindustrian, transformasi digital dan peralihan tenaga, yang menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, kesediaan kerajaan disokong tekad politik untuk melaksanakan pembaharuan dasar yang mencabar telah berjaya membina keyakinan pelabur, termasuk melalui penggubalan undang-undang kewangan yang menyumbang kepada pengurangan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada tahun lalu, berbanding 5.5 peratus pada 2022.

“Malah, penyasaran subsidi yang dilaksanakan, termasuk petrol dan diesel, merekodkan penjimatan sekitar RM15.5 bilion, sekali gus mengurangkan ketirisan dan penyelewengan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dasar yang dilaksanakan bersifat berdikari, tidak terikat kepada cadangan atau usul badan ekonomi antarabangsa termasuk Bank Dunia.

“Diharapkan kestabilan ini dapat dikekalkan, sekali gus membolehkan kerajaan merangka program lain yang lebih meyakinkan pada masa hadapan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.7 peratus tahun lalu.

Bertitah ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15, kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah, manakala kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi negara.