KUALA LUMPUR, 10 OKT: Ekonomi Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan sederhana antara 4 hingga 4.5 peratus pada 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini berdasarkan jangkaan kerajaan ekonomi antara 4 hingga 4.8 peratus pada tahun ini.
“Kendatipun konflik serantau dan ketidaktentuan tarif global terus menggasak, asas ekonomi negara kekal kukuh, membolehkan Malaysia menghadapi kejutan ekonomi luar negara,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi prakata laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
“Perjalanan reformasi struktur Malaysia harus dipandu oleh prinsip pengurusan kewangan awam yang berhemat, tatkala dunia dibadai dengan pelbagai keberantakan dewasa ini.
"Institusi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, turut senada dengan keyakinan ini, dibuktikan dengan pengekalan unjuran positif terhadap Malaysia meskipun prospek ekonomi global menyuram,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata ekonomi Malaysia terus mengorak langkah mencatatkan pertumbuhan stabil dan berdaya tahan dengan pengembangan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025, meletakkan negara antara yang mencatatkan prestasi hebat dalam kalangan negara tetangga.
Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, disokong oleh aliran pelaburan yang berterusan, pertumbuhan gaji mekar serta pasaran buruh yang stabil.
“Lonjakan 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 merupakan pencapaian tertinggi Malaysia dalam kalangan semua negara, jelas menggambarkan keutuhan asas ekonomi kita.
"Malaysia kini menduduki tempat ke-23, yakni kedudukan terbaik sejak 2020," kata beliau.
Anwar berkata tantangan global bukanlah alasan untuk kerajaan menggendalakan usaha pembaharuan bagi menjana pertumbuhan terangkum dan bermakna, khususnya dalam memperbetul kebobrokan struktural termasuk kesenjangan pendapatan dan pembangunan wilayah, perubahan iklim, serta penuaan penduduk.
Sementara itu, beliau berkata defisit fiskal berkurangan daripada 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024, dengan sasaran penurunan selanjutnya kepada 3.5 peratus menjelang 2026, dan tiga peratus dalam jangka sederhana, seperti termaktub di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].
"Usaha untuk mengukuhkan semula kedudukan fiskal negara kian mendesak mutakhir ini, tatkala dunia semakin kerap berdepan kejutan ekonomi dan menggugat kestabilan global,” kata beliau.
Anwar berkata Akta 850 dan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 yang baru diperkenalkan juga berperanan untuk mengukuhkan akauntabiliti, ketelusan dan keberkesanan operasi.
Perdana Menteri juga berkata penambahbaikan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-invois, dan rasionalisasi subsidi bersasar, termasuk diesel, RON95 dan elektrik, telah menjana penjimatan berbilion ringgit.
Penjimatan ini, katanya, telah disalurkan semula untuk memperkukuh pelbagai bantuan dan bantuan sosial langsung, dengan peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat 50 peratus dalam hanya setahun kepada RM15 bilion, memanfaatkan sehingga 22 juta rakyat Malaysia.
- BERNAMA