Rundingan AS-Iran gagal, ekonomi Malaysia berdepan tekanan

13 Apr 2026, 8:03 AM
Rundingan AS-Iran gagal, ekonomi Malaysia berdepan tekanan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kegagalan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berisiko meningkatkan tekanan terhadap ekonomi global, termasuk Malaysia, khususnya jika ketegangan di Asia Barat terus memuncak dan menjejaskan pasaran tenaga dunia.

Penganalisis ekonomi Prof Dr Abu Sofian Yaacob berkata harga minyak mentah Brent berpotensi melonjak melebihi AS$100 setong sekiranya rundingan gagal, sekali gus menambah beban subsidi bahan api dan mengecilkan ruang fiskal kerajaan.

Menurut beliau, situasi itu juga dijangka mendorong peningkatan inflasi susulan kenaikan kos logistik, pengangkutan dan makanan import, lapor portal berita RTM.

“Dalam keadaan tidak menentu ini, ringgit turut berisiko melemah apabila pelabur beralih kepada dolar Amerika Syarikat sebagai aset selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan rundingan antara kedua-dua negara itu yang berisiko memberi kesan langsung kepada ekonomi serantau.

Dalam masa sama, Abu Sofian berkata pasaran saham tempatan dijangka bergerak tidak menentu, manakala tekanan terhadap kewangan kerajaan meningkat berikutan keperluan menampung subsidi serta bantuan kos sara hidup.

“Risiko menjadi lebih besar sekiranya Selat Hormuz terganggu kerana ia akan menjejaskan bekalan minyak global.

“Dalam jangka pendek, harga minyak dan turun naik nilai ringgit dijangka meningkat,” katanya.

Beliau menambah, dalam tempoh sederhana, inflasi dijangka terus meningkat, manakala pertumbuhan ekonomi negara berpotensi menjadi lebih perlahan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.