Enam motosikal RXZ hilang, bengkel dipecah masuk

16 Apr 2026, 1:46 PM
Enam motosikal RXZ hilang, bengkel dipecah masuk

SEREMBAN, 16 APRIL: Enam motosikal Yamaha RXZ dianggar bernilai RM60,000 yang disimpan dalam sebuah bengkel hilang selepas premis itu dipecah masuk dalam kejadian di Jalan Bandar Senawang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata turut dilaporkan hilang adalah dua topi keledar jenis Shoei dan MS 88 serta beberapa alat ganti motosikal.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati premis berkenaan dipecah masuk dengan kesan umpil pada bahagian pintu shutter, selain terdapat kesan pecah pada lantai bengkel dan turut ditemukan kesan darah di beberapa kawasan dalam premis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata motosikal dilaporkan hilang bernombor pendaftaran BRD 135, WVG 3923, JBS 1450, CAL 8555, NBQ 275 serta NAW 8927, dan kesemua motosikal berkenaan berada dalam keadaan berkunci dalam bengkel tersebut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 457 serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Zawahir Zainuddin di talian 019-771 9434 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-679 2222.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.