SHAH ALAM, 12 NOV: Program Bengkel Media Sosial: Memaksimumkan Media Sosial – Trend, Keselamatan dan Penggunaan Beretika anjuran Media Selangor memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan platform digital secara beretika selain membuka perspektif positif terhadap penggunaan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI).
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), K Navaneswaran berkata bengkel berkenaan memperluas pemahamannya mengenai potensi AI dalam dunia komunikasi.
“Program ini membuka minda saya sebagai pelajar komunikasi. Banyak idea baharu diperoleh tentang bagaimana media boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarakat. Ia memberi kesedaran kita supaya gunakan teknologi secara beretika,” katanya ketika ditemui di UPM Serdang.

Jelasnya, masih ramai termasuk dalam kalangan pelajar melihat AI sebagai ancaman, namun sesi oleh penceramah berpengalaman memberi gambaran yang lebih tepat.
“Ramai menganggap AI menakutkan, tetapi program ini memberi ilmu yang membantu saya mendidik masyarakat dan rakan-rakan supaya tidak takut menggunakan teknologi itu,” katanya sambil memuji penyampaian penceramah yang disifatkan mesra dan mudah difahami.
Seorang lagi penuntut UPM, Aireen Qistina berkata bengkel tersebut memberi pendedahan menyeluruh mengenai hubungan antara teknologi AI dan industri media.
“Saya mendapat pengetahuan lebih mendalam tentang media, enjin carian, penggunaan AI dalam ekonomi dan bagaimana ia menyumbang kepada industri,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi UPM itu.

Menurut Aireen, bengkel itu turut membuka ruang memahami peluang kerjaya baharu dalam bidang komunikasi dan media seiring perkembangan teknologi.
“Ia memberi gambaran jelas mengenai masa depan kerjaya dan peluang yang boleh diterokai, khususnya dengan organisasi seperti Media Selangor,” tambahnya.
Selain sesi pembelajaran, aktiviti interaktif sepanjang program turut mengeratkan hubungan peserta.
“Aktivitinya menyeronokkan. Ia bukan sekadar tentang teori, malah membantu kami berinteraksi, berkongsi pandangan dan membina rangkaian baharu,” katanya.
Melalui perkongsian langsung daripada pakar industri, program tersebut dilihat berjaya membantu peserta menyesuaikan diri dengan perubahan landskap media yang kini semakin dipacu teknologi dan kecerdasan buatan.






