ad

UPM, Media Selangor perkukuh kerjasama lahirkan pencipta kandungan bertanggungjawab

12 Nov 2025, 6:04 AM
UPM, Media Selangor perkukuh kerjasama lahirkan pencipta kandungan bertanggungjawab
UPM, Media Selangor perkukuh kerjasama lahirkan pencipta kandungan bertanggungjawab
UPM, Media Selangor perkukuh kerjasama lahirkan pencipta kandungan bertanggungjawab
UPM, Media Selangor perkukuh kerjasama lahirkan pencipta kandungan bertanggungjawab
UPM, Media Selangor perkukuh kerjasama lahirkan pencipta kandungan bertanggungjawab

SHAH ALAM, 12 NOV: Penuntut bidang komunikasi diseru menghasilkan kandungan media sosial berasaskan ilmu, kefahaman isu serta trend semasa bagi memastikan mesej yang disampaikan lebih berkesan dan bertanggungjawab.

Seruan itu disampaikan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Dahlia Zawawi, ketika penganjuran Bengkel Media Sosial: Memaksimumkan Media Sosial – Trend, Keselamatan dan Penggunaan Beretika bersama Media Selangor semalam.

“Kami berharap program ini membantu penuntut memahami isu semasa dan trend terkini supaya apabila mereka melakukan aktiviti keterlihatan di media sosial, mereka bergerak dengan ilmu,” katanya.

Pengarah, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Dahlia Zawawi. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Dr Dahlia, pendedahan seperti ini penting kerana penuntut bukan sahaja pengguna, tetapi juga pencipta kandungan yang berperanan dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap universiti dan komuniti mereka.

“Kami mahu mereka menghasilkan kandungan media sosial yang berkualiti.

“Pada akhirnya, ia bukan sahaja membantu pembangunan diri penuntut tetapi juga memberi manfaat kepada universiti melalui peningkatan keterlihatan positif di kedua-dua pihak,” jelasnya.

Beliau menambah, usaha mendidik penuntut melalui bengkel berkenaan dapat melahirkan generasi celik digital yang peka terhadap etika, fakta dan pendekatan berhemah dalam dunia komunikasi masa kini.

Pengarang Kanan Media Selangor Mohamad Khairulnizam Bakeri (lapan, kanan) dan Ketua Komunikasi Korporat Media Selangor Mahadi Mohd Mustafa (tujuh, kiri) bersama peserta selepas Bengkel Media Sosial: Memaksimumkan Trend Media Sosial, Keselamatan & Penggunaan Secara Beretika di Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Kompleks, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 11 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Dengan mendidik mereka melalui program seperti ini, penuntut mempunyai lebih banyak pengetahuan untuk melakukan sesuatu dengan betul, berasaskan teori dan pengalaman yang dikongsi oleh penceramah,” ujarnya.

Dr Dahlia turut memuji pendekatan Pengarang Kanan Media Selangor, Mohamad Khairulnizam Bakeri, selaku penceramah yang berjaya menarik perhatian dan berinteraksi secara aktif dengan peserta sepanjang bengkel berlangsung.

“Penceramah mampu berhubung baik dengan penuntut dan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan,” katanya.

Beliau turut berharap bengkel seperti itu dapat diteruskan dengan penglibatan lebih ramai pelajar pada masa akan datang.

“Saya berharap tahun hadapan akan ada kesinambungan program ini dengan penyertaan kumpulan yang lebih besar,” katanya.

Penganjuran bengkel tersebut bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penggunaan media sosial secara beretika, malah memperkukuh hubungan strategik antara UPM dan Media Selangor dalam usaha melahirkan graduan komunikasi yang bertanggungjawab, beretika dan berimpak positif terhadap masyarakat.

Antara peserta yang menyertai Bengkel Media Sosial: Memaksimumkan Trend Media Sosial, Keselamatan & Penggunaan Secara Beretika di Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 11 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR