Di Kampung Sungai Labu, Sekinchan, bengkel kecil Arif Garaj pernah mencuri tumpuan apabila lima beradik perempuan membuktikan minyak hitam dan deruman enjin bukan milik lelaki sahaja.
Noor Atikah Mohamad Arif, 31, Noor Mahirah, 29, Noor Zahidah, 26, Nur Rabiatul Adawiyah, 24, dan Noor Hanisah Bazlaa, 22, dilatih turun bengkel sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia.
Bapa mereka, Mohamad Arif Md Toha, 58, seorang pomen berpengalaman lebih tiga dekad mahu semua anaknya menguasai bidang tersebut.
Lima beradik itu cekap menukar minyak, menala enjin dan membaiki jentera berkuasa tinggi, daripada Honda CBX 750 dan ST1300 hinggalah Kawasaki, Yamaha dan Harley Davidson.
Kini, masa mengubah haluan. Noor Hanisah baharu saja bekerja di syarikat automotif, Noor Atikah mengikut suami, manakala Noor Mahirah dan Nur Rabiatul memilih kerjaya lain.
Hanya Noor Zahidah kekal sepenuh masa di bengkel ditemani adik lelakinya, Mohamad Firdaus Hakim, 19, menjaga warisan keluarga dengan penuh tekad.
Baginya, bengkel itu bukan sekadar punca rezeki tetapi kenangan adik-beradik. Di situ juga tersimpan bukti wanita mampu menakluki bidang yang pernah dikuasai lelaki.
Kisah mereka menjadi inspirasi penduduk setempat. Setiap motosikal yang kembali hidup membawa cerita keberanian dan ketabahan.
Lensa jurufoto Adibah Izam merakam tiga beradik yang masih setia di sisi jentera besar, lambang semangat mereka yang terus menyala meski haluan hidup berbeza.









