SHAH ALAM, 16 APRIL: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan di negeri ini melalui penyaluran dua sumbangan wakaf fisabilillah bagi tujuan penambahbaikan kemudahan sekolah.
Bagi inisiatif pertama, PWS menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 untuk pembinaan laluan susur gajah di Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Integrasi Felda Bukit Cherakah.
“Sumbangan disampaikan Pengurus Bahagian Korporat PWS, Muhammad Hafiz Bahari kepada pihak sekolah dalam satu sesi penyerahan yang berlangsung dalam suasana harmoni.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PWS dalam memperkasa impak sosial melalui pendekatan wakaf yang inklusif khususnya bagi meningkatkan kemudahan dan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya di Facebook.
Sementara itu, satu lagi sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM48,000 disalurkan bagi kerja naik taraf surau Sekolah Kebangsaan (SK) Gedangsa, Kuala Kubu Bharu.
“Sumbangan ini telah disampaikan oleh Penolong Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS, Mohd Khairi Ambri Roslan kepada pihak sekolah dalam suasana penuh profesionalisme dan kebersamaan.
"Pendekatan bersepadu ini mencerminkan aspirasi PWS dalam mengarusperdanakan budaya wakaf sebagai pemangkin kelestarian pendidikan dan kesejahteraan komuniti,” tambahnya.
Dalam masa sama, PWS turut mengadakan sesi taklimat wakaf kepada warga pendidik di kedua-dua lokasi bagi memberi pendedahan mengenai konsep wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang mampan.
PWS juga berharap inisiatif tersebut dapat menggalakkan penglibatan lebih meluas masyarakat dalam menyokong pembangunan pendidikan melalui wakaf sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan institusi pendidikan secara berterusan.









