KUCHING, 16 APRIL: Seorang warga emas di Miri berusia 64 tahun kerugian lebih RM1.17 juta selepas menjadi mangsa penipuan cinta.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata berdasarkan laporan diterima semalam, mangsa pada mulanya menerima pesanan melalui aplikasi TikTok sebelum berkomunikasi melalui WhatsApp.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menyamar sebagai warga asing dengan menggunakan gambar individu lain serta dokumen peribadi telah disunting bagi meyakinkan mangsa.
“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan mendakwa sedang mengendalikan projek cari gali yang telah diluluskan, namun berdepan masalah akaun bank disekat atau digodam.
“Suspek seterusnya meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk bayaran pendahuluan dan kos projek, dengan janji akan memulangkan semula wang tersebut dalam mata wang dolar Amerika (USD),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Farhan berkata terperdaya dengan kata-kata manis suspek, mangsa telah membuat sebanyak 59 transaksi pembayaran ke sembilan akaun pihak ketiga diberikan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,173,700.
Beliau berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas berkongsi perkara itu dengan ahli keluarga sebelum tampil membuat laporan polis dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.








