Isu lalat berlarutan, reban ayam ingkar bakal ditutup

15 Apr 2026, 5:59 AM
Isu lalat berlarutan, reban ayam ingkar bakal ditutup

SHAH ALAM, 15 APRIL: Pengusaha reban ayam di Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat berdepan tindakan tegas termasuk penutupan operasi jika terus gagal mematuhi peraturan kebersihan sehingga mencetuskan gangguan lalat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah berkata tindakan itu sedang dipertimbang susulan aduan penduduk yang masih berterusan walaupun pelbagai langkah telah dilaksanakan sebelum ini.

Menurut beliau, pendekatan sedia ada seperti pemantauan dan perbincangan tidak lagi mencukupi, sekali gus memerlukan tindakan penguatkuasaan lebih tegas.

“Cadangan telah dikemukakan untuk menyita dan menutup operasi reban ayam yang tidak mematuhi peraturan sepenuhnya, tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Perkara ini tidak boleh lagi dikompromi. Tindakan mesti dilaksanakan dengan segera dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat penyelarasan yang melibatkan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, LUAS, Jabatan Kesihatan Negeri serta Ketua Kampung.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah ketika mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, LUAS, Jabatan Kesihatan Negeri serta Ketua Kampung pada 14 April 2026. Foto Facebook Borhan Aman Shah.

Borhan menegaskan kerajaan tidak boleh terus berada dalam kitaran sama tanpa penyelesaian tuntas, walaupun pelbagai siri mesyuarat dan turun padang telah diadakan sebelum ini.

"Kita tidak boleh terus berada dalam kitaran yang sama, bermesyuarat, turun padang, bertemu pengusaha, tetapi masalah masih berulang.

"Keutamaan kita adalah kesejahteraan penduduk. Tindakan tegas perlu dilaksanakan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh," katanya.

Isu gangguan lalat di kawasan itu dilaporkan berlarutan sejak sekian lama dan menjejaskan kehidupan harian penduduk, sekali gus menuntut tindakan lebih tegas daripada pihak berkuasa.

Pada Februari lalu, Borhan mengadakan pertemuan dengan 12 pengusaha ladang ternakan ayam susulan peningkatan semula aduan gangguan lalat di Kampung Ladang Batu.

Dalam pertemuan itu, pengusaha diberi amaran berdepan tindakan penutupan sementara jika gagal mematuhi kaedah pengurusan kebersihan yang ditetapkan.

MPKL turut terlibat dalam perbincangan bagi mendapatkan pandangan serta mencari penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan kehidupan harian penduduk Kampung Ladang Batu terjejas akibat masalah lalat yang didakwa berpunca daripada aktiviti penternakan ayam sejak tiga tahun lalu.

Penduduk dilaporkan terpaksa membeli pelekat perangkap lalat dalam jumlah besar, memasang kelambu, mengadakan bantahan di premis ladang serta membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.