Isu lalat: Patuhi peraturan kebersihan atau ladang ayam ditutup sementara

14 Feb 2026, 10:11 AM
Isu lalat: Patuhi peraturan kebersihan atau ladang ayam ditutup sementara

SHAH ALAM, 14 FEB: Pengusaha ladang ternakan ayam di Kampung Ladang Batu berdepan tindakan penutupan sementara jika gagal mematuhi kaedah pengurusan kebersihan sehingga menyebabkan gangguan lalat di penempatan penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Datuk Borhan Aman Shah berkata pertemuan telah diadakan semalam bersama 12 pengusaha ladang ternakan ayam susulan peningkatan semula aduan masalah lalat.

Menurut beliau, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) turut dilibatkan dalam perbincangan bagi mendapatkan pandangan serta mencari penyelesaian terbaik.

“Hasil perbincangan mendapati hanya satu atau dua ladang tidak mematuhi kaedah pengurusan yang ditetapkan, sekali gus berpotensi menjadi punca gangguan lalat.

“Antara langkah perlu dipatuhi ialah menjalankan proses fogging setiap kali ayam dikeluarkan, menutup reban dengan rapat serta memastikan najis ayam dibiarkan kering beberapa hari sebelum dilupuskan. Jika kaedah ini dilaksanakan dengan betul, populasi lalat dapat dikawal,” katanya yang juga EXCO Kerajaan Negeri kepada Media Selangor.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat pengusaha yang menjual najis ayam sebagai baja dalam keadaan masih basah demi keuntungan sekali gus menyumbang kepada masalah berkenaan.

Borhan turut memaklumkan aduan sama diterima di beberapa kampung lain termasuk Kanchong Tengah dan sekitar Kampung Endah yang turut menjalankan aktiviti ternakan ayam.

Mengulas tindakan penguatkuasaan, beliau berkata amaran keras telah diberikan dan pemantauan akan dipertingkatkan dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Jabatan Veterinar, MPKL serta Jabatan Alam Sekitar.

“Jika masih gagal bekerjasama, tindakan tegas akan diambil termasuk penutupan sementara ladang bagi memberi pengajaran. Apabila tindakan sedemikian dilaksanakan, pengusaha biasanya lebih peka dan patuh,” katanya.

Tambahnya, kegagalan mematuhi kaedah pengurusan turut berpunca daripada usaha menjimatkan kos pekerja, penggunaan bahan kawalan serangga berkualiti rendah serta tidak mengikut nasihat pihak berkuasa tempatan.

Beliau mengingatkan agar isu pencemaran tidak berulang seperti kes ternakan babi sebelum ini, termasuk pembuangan sisa ke sungai atau laut.

“Saya juga dimaklumkan terdapat aduan mengenai air basuhan kuman yang dibuang tanpa kawalan, yang berpotensi menyumbang kepada pembiakan lalat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kehidupan harian penduduk Kampung Ladang Batu terjejas akibat masalah lalat yang didakwa berpunca daripada aktiviti penternakan ayam sejak tiga tahun lalu.

Penduduk dilaporkan terpaksa membeli pelekat perangkap lalat dalam jumlah besar, memasang kelambu, mengadakan bantahan di premis ladang serta membuat aduan kepada pihak berkuasa.