MPAJ catat lebihan hasil RM15 juta, tertinggi dalam sejarah

14 Apr 2026, 1:30 AM
MPAJ catat lebihan hasil RM15 juta, tertinggi dalam sejarah

AMPANG JAYA, 14 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mencatat lebihan hasil sebanyak RM15 juta tahun lalu, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam sejarah penubuhan pihak berkuasa tempatan itu.

Timbalan Yang Dipertuanya Hasrolnizam Shaari berkata prestasi memberangsangkan itu direkodkan selepas MPAJ meraih kutipan hasil sebanyak RM185 juta, melepasi sasaran ditetapkan iaitu RM170 juta.

Menurutnya, lebihan hasil berkenaan dijangka dapat dikekalkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan unjuran semasa.

“Mengikut unjuran, semakan dan penyelidikan, kita menjangkakan komitmen (lebihan hasil) ini akan dapat dipertahankan untuk beberapa tahun lagi akan datang.

“Lebihan hasil ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menaik taraf kemudahan awam, melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur serta mempergiat program santuni masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 MPAJ, malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPAJ ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pusat Konvensyen MPAJ pada 13 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen MPAJ disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Hasrolnizam berkata pihaknya komited untuk terus memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan selari dengan keperluan semasa penduduk di kawasan pentadbirannya.

“Kita akan terus bekerja kuat terutama dalam senario semasa di dalam krisis yang sedang berlaku yang turut memerlukan tuntutan komitmen bersama berhubung dengan isu-isu berkaitan tenaga.

“MPAJ juga akan meningkatkan keperluan kualiti perkhidmatan terutamanya berkaitan aspek kebersihan dan kemudahan lain yang memenuhi keperluan masyarakat Ampang Jaya,” ujarnya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.