AMPANG JAYA, 14 APRIL: Penjawat awam di Selangor diingatkan supaya kekal neutral dan mematuhi dasar kerajaan semasa tanpa dipengaruhi unsur politik kepartian dalam melaksanakan tugas harian.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata Selangor sebagai negeri yang dinamik memerlukan penjawat awam berintegriti tinggi serta bebas daripada pengaruh politik sempit bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kekal berkesan.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kita mendapat aduan, ada penjawat awam mengucapkan tahniah kepada parti sebelah sana (pembangkang). Ini tidak boleh, kita bekerja untuk government of the day.
“Siapa yang kita pangkah, saya tidak mahu tanya kerana pada akhirnya dalam penyampaian perkhidmatan melibatkan kepercayaan. Bila tiada kepercayaan kepada organisasi, memang susah untuk membuat kerja,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2025, malam tadi.
Beliau menegaskan kepercayaan terhadap institusi awam perlu dipelihara melalui sikap profesional dan pelaksanaan tugas yang bebas daripada kecenderungan politik.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata penjawat awam merupakan benteng utama dalam merealisasikan visi negeri seperti yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
“Kesetiaan bukan hanya pada baju istiadat yang dipakai, tetapi mesti dipancar dalam setiap keputusan yang dibuat pada setiap operasi perkhidmatan yang dilaksanakan.
“Seiring dengan amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semasa program Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri Selangor baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa kesetiaan itu bukan sekadar di bibir,” katanya.









