AMPANG JAYA, 13 APRIL: Seramai 72 warga kerja Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun lepas.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 44 penerima terdiri daripada lelaki manakala 28 perempuan, melibatkan lima kakitangan pengurusan dan 67 kakitangan pelaksana.
“MPAJ menetapkan seramai lapan peratus daripada keseluruhan jumlah 900 kakitangan untuk pemberian APC yang sedang berkhidmat.
“APC ini bukan sekadar penghargaan, tetapi menjadi medan untuk mengiktiraf warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang dan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis APC 2025 MPAJ yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin di Pusat Konvensyen MPAJ, malam ini.
Beliau berharap kejayaan yang diraih para penerima dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus meningkatkan iltizam kerja serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada MPAJ, Kerajaan Negeri dan negara.
Dalam majlis sama, beberapa anugerah lain turut disampaikan termasuk Anugerah Khas Sukan kepada seorang penerima, Penghargaan Pesara melibatkan 21 individu, Anugerah Khas Inovasi kepada enam kumpulan serta sumbangan seorang penerima Gemulah kepada waris.








