SHAH ALAM, 13 APRIL: Syarikat 99 Speed Mart Retail Holdings menyumbang pek makanan kepada pelajar Universiti Selangor (UNISEL) bagi membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa.
Sumbangan itu diagihkan menerusi Majlis Agihan Pek Makanan di Kampus UNISEL Bestari Jaya, melibatkan pelajar asnaf, kurang berkemampuan serta mahasiswa aktif dalam pembangunan universiti.
Majlis disempurnakan Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti) Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh yang menyokong penuh inisiatif kebajikan tersebut.
Menurut Pejabat Komunikasi Korporat UNISEL, sumbangan berkenaan bukan sekadar bantuan makanan, tetapi turut mencerminkan sokongan industri terhadap kebajikan mahasiswa.
“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah menjadi simbol kerjasama erat antara industri dan institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan diharap dapat membantu pelajar meneruskan pengajian dengan lebih baik, selain memperkukuh hubungan strategik antara UNISEL dan pihak industri.








