Warga emas maut dipijak gajah

13 Apr 2026, 1:06 AM
Warga emas maut dipijak gajah

Lahad Datu: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipijak gajah liar dalam kejadian di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, Lahad Datu, Sabah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, termasuk patah tulang kaki betis dan tulang rusuk.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama anak lelakinya berusia 38 tahun sedang menutup pagar kebun sebelum pulang dari kawasan ladang kelapa sawit berkenaan, lapor Berita Harian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata secara tiba-tiba seekor gajah liar muncul lalu menyerang kedua-dua mangsa.

"Akibat serangan itu, mangsa tidak sempat melarikan diri sebelum dipijak oleh haiwan berkenaan, manakala anaknya berjaya menyelamatkan diri.

"Anak mangsa turut menjerit meminta bantuan dan cuba mengalih perhatian gajah berkenaan sebelum haiwan itu beredar dari lokasi," katanya.

Menurutnya, selepas keadaan selamat, anak mangsa mendapatkan bapanya sebelum membawanya ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di hospital," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati gajah terbabit adalah gajah tunggal dan bukan bergerak secara berkumpulan.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di Balai Polis Tungku atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk terutama di kawasan Tungku supaya sentiasa peka dan berhati-hati dengan kehadiran gajah liar di kawasan masing-masing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.