JOHOR BAHRU, 16 OKT: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dengan kecederaan parah pada lengan, kepala dan muka, dipercayai selepas dipukul bertubi-tubi menggunakan objek tumpul dalam kejadian di tepi jalan di Permas Jaya, Masai, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintenden Ng Swie Chait berkata polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan lelaki tempatan berusia 67 tahun itu pada kira-kira 4.54 petang.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental pada kira-kira 6 petang, di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Permas Jaya.
Beliau berkata tangkapan itu dilakukan susulan penularan video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki tempatan melakukan perbuatan mencurigakan di tepi jalan di lokasi kejadian.
“Turut dirampas daripada suspek ialah sebatang tongkat besi dan sebuah potret gambar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ng berkata semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Beliau berkata suspek didapati negatif dadah dan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi forensik Hospital Sultan Ismail mengesahkan punca kematian mangsa ialah kecederaan akibat hentakan daya tumpul pada kepala.
“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi polis menerusi talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.






