Ahli majlis kanak-kanak bawa perspektif baharu pembangunan bandar

13 Apr 2026, 4:30 AM
Ahli majlis kanak-kanak bawa perspektif baharu pembangunan bandar

PETALING JAYA, 13 APRIL: Ahli majlis kanak-kanak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memainkan peranan penting dalam mengetengahkan perspektif baharu dalam perancangan bandar, sekali gus memastikan keperluan golongan itu tidak dipinggirkan.

Alumni Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya sesi 2024/2025, Nurul Irdina Abdul Rahman, 17, berkata platform berkenaan memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan mereka secara terus kepada pihak berkuasa tempatan.

Jelas beliau, banyak keperluan golongan kanak-kanak yang sering tidak disedari oleh orang dewasa dapat diketengahkan melalui peranan ahli majlis tersebut.

Nurul Irdina Abdul Rahman

“Peranan kami adalah untuk membawa suara kanak-kanak kepada MBPJ supaya perancangan bandar dapat dilihat dari sudut yang lebih inklusif dan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Lenin, 19, yang juga alumni Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya berkata penglibatan dalam program tersebut memberi pendedahan awal kepada golongan muda tentang proses sebenar perancangan dan pembangunan komuniti.

Beliau berkata program itu menyediakan pendedahan dan pengalaman bagi membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih baik pada masa hadapan.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi ruang kepada kami untuk bersuara, tetapi juga melatih kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal dan keyakinan diri,” katanya.

Lenin

Tambahnya, program seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan bandar, malah membentuk generasi muda yang lebih prihatin terhadap komuniti setempat.

Menurutnya, inisiatif tersebut membuktikan pandangan kanak-kanak mampu memberi nilai tambah dalam perancangan bandar, khususnya dalam mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

MBPJ melantik 30 ahli majlis kanak-kanak sesi 2026/2027 bagi membawa suara golongan itu dalam perancangan dan pengurusan bandar.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata lantikan itu termasuk tiga kanak-kanak daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekali gus membuktikan pandangan golongan istimewa turut menjadi keutamaan.

Menurut Dato’ Mohamad Zahri Samingon, mereka yang dilantik sebagai ahli majlis kanak-kanak Petaling Jaya diberi ilmu berkaitan pengurusan kepimpinan, cara mengatur program.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.