PETALING JAYA, 25 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melantik 30 ahli majlis kanak-kanak sesi 2026/2027 bagi membawa suara golongan itu dalam perancangan dan pengurusan bandar.
Datuk Bandar Petaling Jaya berkata lantikan itu termasuk tiga kanak-kanak daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekali gus membuktikan pandangan golongan istimewa turut menjadi keutamaan.
“Kita menerima sebanyak 159 permohonan dan hanya 30 dilantik setelah melalui proses saringan. Mereka yang dilantik sebagai ahli majlis kanak-kanak Petaling Jaya diberi ilmu berkaitan pengurusan kepimpinan, cara mengatur program.

“Dalam setiap perancangan di Petaling Jaya mengambil kira pelbagai sudut dan usia termasuk pandangan kanak-kanak. Mungkin pandangan mereka berbeza mengikut keperluan semasa seperti kemudahan taman,” kata Dato’ Mohamad Zahri Samingon.
Beliau ditemui pada majlis pelantikan ahli majlis kanak-kanak Petaling Jaya 2026/2027 hari ini. Turut diadakan, Majlis Penghargaan Alumni Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya 2024/2025.
Tambahnya, dengan lantikan baharu ini, ia bukan sekadar memperkukuh proses perancangan dan pelaksanaan dasar bandar tetapi membentuk generasi berfikiran kritikal dan bertanggungjawab.

Dalam pada itu, R. Ruplynn Kaur, 16, yang dilantik sebagai presiden baharu menjelaskan lantikan sebagai ahli majlis memberi peluang kepada golongan kanak-kanak menyuarakan pendapat khususnya dalam perancangan bandar.
“Sebagai ahli majlis kanak-kanak, kita tahu di mana platform tepat supaya suara kita didengari dan mungkin boleh bawa perubahan atau manfaat pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Muhammad Raid Altamis Mohd Sunny, 18, pula banyak yang beliau pelajari sepanjang menjadi ahli majlis kanak-kanak pada sesi lepas terutama berkaitan kepimpinan.
“Menerusi program ini, saya dapat mengenali ramai kawan baharu selain banyak mengubah sikap supaya menjadi individu lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Faiz Abdol Hazis, 44, berkata beliau berbangga anak sulungnya Muhammad Fayyadh diberi peluang menjadi ahli majlis kanak-kanak yang amat memberi impak terutama personalitinya.
“Anak memang sukakan cabaran dan aktiviti bersama rakan-rakan, apabila dilantik sebagai ahli majlis karakternya kepimpinan semakin menyerlah,” katanya.





