MBPJ rekrut Ahli Majlis Kanak-Kanak baharu bermula bulan ini

3 Dis 2025, 3:01 AM
MBPJ rekrut Ahli Majlis Kanak-Kanak baharu bermula bulan ini

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memulakan proses pengambilan kumpulan kelima Ahli Majlis Kanak-Kanak yang melibatkan peserta berusia antara sembilan hingga 17 tahun.

Datuk Bandarnya, Mohamad Zahri Samingon berkata proses pencarian akan bermula bulan ini, dengan surat pemberitahuan turut dihantar kepada sekolah-sekolah di sekitar Petaling Jaya.

“Guru akan mencalonkan murid dan panel bebas akan membuat senarai pendek berdasarkan kriteria tertentu,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau memaklumkan tempoh perkhidmatan selama dua tahun itu merangkumi 30 kerusi yang menekankan kepelbagaian budaya, penyertaan kanak-kanak Orang Asli serta kanak-kanak kelainan upaya (OKU).

“Mereka akan terlibat dalam perbincangan dan proses membuat keputusan. Jika cadangan mereka menepati bajet, kami akan cuba realisasikan,” katanya.

Sementara itu, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kepesatan urbanisasi menjadikan keutamaan negeri tertumpu kepada reka bentuk bandar yang inklusif dan selamat untuk kanak-kanak.

“Lebih separuh kanak-kanak di dunia kini tinggal di kawasan bandar. Di Selangor, jumlahnya melebihi 90 peratus.

“Reka bentuk, tadbir urus dan penyelenggaraan bandar memberi kesan langsung kepada kesejahteraan, peluang dan masa depan mereka,” katanya ketika merasmikan Ekspo Bandar Mesra Kanak-Kanak Antarabangsa Petaling Jaya 2025.

Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia mengiktiraf kemajuan MBPJ dalam memperkukuh penyertaan golongan muda melalui program Ahli Majlis Bandaraya Kanak-Kanak.

Wakil UNICEF, Robert Gass berkata pihak berkuasa tempatan itu menunjukkan perkembangan konsisten dalam memastikan penyertaan kanak-kanak lebih inklusif.

“Bandar ini mencuba pelbagai kriteria keahlian dan sentiasa menambah baik aspek kepelbagaian. Kini terdapat kuota khusus memastikan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang diwakili.

“Model ini boleh dijadikan contoh kepada PBT lain, namun masih ada ruang untuk mengukuhkan penglibatan orang dewasa dan pengumpulan data di peringkat tempatan,” katanya.

Menurut beliau, UNICEF turut membangunkan satu kit panduan untuk menyokong penyertaan bermakna serta meningkatkan kemahiran kakitangan majlis ketika berinteraksi dengan kanak-kanak.

Beliau menambah, penglibatan kanak-kanak yang semakin kukuh juga menyumbang kepada penambahbaikan nyata seperti pembinaan hentian bas mesra kanak-kanak serta inisiatif sekolah yang melaksanakan langkah memperlahankan trafik dan pemantauan kualiti udara.

Program anjuran MBPJ dengan kerjasama UNICEF Malaysia itu menghimpunkan pemimpin bandar, arkitek, perancang, pemain industri dan komuniti bagi memperkukuh agenda bandar mesra kanak-kanak di peringkat tempatan dan serantau.