SHAH ALAM, 12 APRIL: Pelajar anak Selangor yang layak digesa mengemukakan permohonan Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebelum tarikh tutup yang berbaki dua hari lagi.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata inisiatif Kerajaan Negeri itu menawarkan bantuan kewangan RM1,000 kepada pelajar yang bakal mendaftar tahun pertama di IPT dan IPT swasta yang diiktiraf.
Menurutnya, bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban perbelanjaan awal pengajian selain merangkumi pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, diploma dan ijazah sarjana muda.
“Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan program ini kepada RM5 juta berbanding RM3 juta sebelum ini bagi membolehkan lebih ramai pelajar menerima manfaat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi dana pendidikan Selangor.
Sehubungan itu, orang ramai yang memenuhi syarat kelayakan diingatkan tidak melepaskan peluang tersebut, sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk memulakan pengajian di peringkat lebih tinggi.










