SHAH ALAM, 12 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menasihatkan jemaah haji tahun ini supaya berjimat cermat dan mengawal perbelanjaan susulan konflik dunia yang berlaku ketika ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah jemaah sebaliknya perlu menumpukan kepada ibadah wajib dan kurangkan aktiviti membeli belah serta berbelanja ketika berada di tanah suci.
“Jemaah perlu menjaga kesihatan diri, tidak membazir dan mengawal perbelanjaan serta berjimat cermat terutama di dalam situasi ekonomi dunia yang bergolak ketika ini,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Kursus Perdana Haji Musim 1447Hijrah berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang dihadiri lebih 5,000 bakal jemaah, di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bakal jemaah memanfaatkan peluang menunaikan haji ini dengan sebaiknya memandangkan kuota terhad selain kos semakin meningkat.

“Manfaatkan peluang ini sebaik-baiknya untuk mendapatkan haji yang mabrur. Kita harus bersyukur kerana Lembaga Tabung Haji (TH) menjaga dan menguruskan kebajikan jemaah haji,” titah Baginda.
Baginda turut mengingatkan umat Islam agar tidak menggunakan khidmat agensi luar selain TH untuk menunaikan ibadah haji bagi mengelakkan jemaah tertipu dan terperdaya sehingga hasrat tergendala.
“Beta berharap bakal jemaah terus mengekalkan disiplin semasa berada di Tanah Suci nanti dan menjaga nama baik Selangor dan Malaysia dengan mematuhi peraturan Kerajaan Arab Saudi.
“Hindarkan daripada sebarang bantahan atau demonstrasi. Tumpukan perhatian kepada ibadah dan bersabar dengan segala ujian dan kepayahan serta dugaan yang akan dihadapi,” titah Baginda.
Tahun ini, lebih 8,000 jemaah dari Selangor bakal menunaikan rukun Islam kelima dengan penerbangan pertama bermula 18 April ini.












