Institusi diraja benteng akidah ummah

30 Okt 2026, 6:00 AM
Institusi diraja benteng akidah ummah
Institusi diraja benteng akidah ummah

Ketegasan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj benteng ampuh dalam memelihara akidah, syiar Islam dan perpaduan ummah sepanjang 25 tahun pemerintahan Baginda.

Bagi Mufti Selangor, titah supaya masjid dan surau menjadi tempat menyatukan serta mendamaikan umat Islam menyerlahkan kesungguhan Baginda selaku ketua agama Islam di negeri ini.

Dato’ Setia Dr Anhar Opir menyifatkan titah itu menekankan kesucian rumah ibadah, malah Baginda juga berpesan supaya tanggungjawab dan amanah ahli jawatankuasa masjid dilaksanakan dengan baik.

“Titah Sultan Selangor pada Januari lalu turut menolak penggunaan masjid sebagai tempat meraih sokongan, selaras peranannya sebagai rumah Allah yang perlu dipelihara daripada kepentingan tertentu.

“Masjid adalah tempat untuk menyatukan dan mendamaikan umat Islam, bukannya menjadi medan yang boleh menimbulkan perpecahan,” katanya.

Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir berucap pada Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Legasi Kesultanan Selangor dalam Memperkasa Islam di Alam Melayu di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 28 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau juga menegaskan institusi kesultanan di Selangor sejak zaman dahulu bukan sekadar lambang warisan sejarah atau tradisi semata-mata, sebaliknya diiringi tanggungjawab agama.

Kepimpinan seseorang sultan memainkan peranan penting dalam konteks tanggungjawab agama yang besar meliputi memelihara kesucian Islam dan menegakkan keadilan dengan penuh saksama.

"Ia satu amanah yang dipikulkan oleh Allah untuk menjaga dan juga menaungi rakyat, begitu juga memelihara agama dan juga menegakkan keadilan," katanya dalam Forum Perdana Ehwal Islam.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk 'Raja Berdaulat Memayungi Umat’ anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 22 Oktober.

Pandangan Dr Anhar senada dengan seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dato' Dr Muhammad Ayman Al-Akiti. Bagi beliau, ketegasan Baginda dalam urusan berkaitan peranan rumah ibadah penting supaya masjid dan surau tidak dicemari agenda yang memecah belah rakyat.

Justeru, beliau selaku Ahli Jawatankuasa Fatwa dan Khutbah Negeri Selangor menjelaskan peri pentingnya khutbah Jumaat diteliti Jawatankuasa Khutbah. Katanya, khutbah adalah suara lisan khalifah dalam menyampaikan mesej kedamaian dan nasihat berkualiti, bukannya pentas perbalahan politik.

"Agama ini terlalu mulia untuk dijadikan tempat permusuhan. Masjid itu terlalu mulia untuk dijadikan tempat kita bergaduh dan bersengketa. Sepatutnya jadikan masjid untuk berukhuwah, jadikan masjid untuk kita tenang dalam beribadah kepada Allah," katanya.

Dr Muhammad Ayman menganggap sumbangan terbesar institusi Kesultanan Selangor sepanjang suku abad pemerintahan Baginda antaranya pemerkasaan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Baginda umpamanya tegas dalam mempertahan urusan agama, tidak sesekali berkompromi dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) demi memastikan pegangan akidah umat Islam terus terpelihara.

"Meskipun Melaka secara politik jatuh pada 1511, institusi Raja-Raja Melayu yang mewarisi aliran ASWJ dengan berakidah Imam Al-Ashari, fikah bermazhab Imam Shafii dan tasauf dengan amalan Imam Al-Ghazali serta adat istiadat, budaya dan keilmuan daripada Melaka terus berkembang," katanya.

Beliau berpendapat ketegasan Baginda juga terbukti melalui pengurusan tauliah dijalankan secara ketat iaitu hanya individu yang benar-benar berkelayakan boleh mengajar agama.

Dr Muhammad Ayman juga mendapati Selangor negeri paling teliti dalam pengurusan tauliah bagi memastikan ajaran yang disampaikan kepada ummah tidak tergelincir daripada landasan akidah ASWJ.

"Kita tidak mahu ada ustaz atau orang yang tidak layak menjadi ustaz mendapat tauliah dan mengajar agama, ternyata yang diajar itu terpesong daripada akidah ASWJ," katanya.

Iktibar sejarah

Institusi kesultanan juga berperanan sebagai penimbang tara atau pendamai konflik jika berlaku kemelut perselisihan kuasa eksekutif. Sultan berperanan menyelesaikan isu tersebut secara bijaksana agar ia tidak merosakkan kestabilan negeri.

Justeru, Dr Muhammad Ayman mengajak umat Islam di negara ini mengambil iktibar sejarah kejatuhan empayar Islam teragung seperti Khilafah Uthmaniyyah, Kesultanan Melaka dan Andalusia.

Katanya, keruntuhan kerajaan itu bermula akibat fitnah dan adu domba yang meretakkan hubungan pemerintah dengan rakyat. Taktik adu domba itu digunakan kuasa penjajah seperti Sepanyol, Portugis, Belanda dan British untuk meruntuhkan institusi kesultanan di negara itu.

Apabila Kesultanan Uthmaniyyah tumbang pada 1924, umat Islam sejagat kehilangan 'payung'. Tiada lagi kuasa besar untuk membela Islam pada peringkat antarabangsa. Justeru, nasihat Baginda supaya menjauhi amalan fitnah wajar dijadikan panduan.

Beliau turut mengulangi titah Baginda supaya umat Islam menilai kesahihan maklumat dan tidak menyebar tuduhan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Dalam majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima buku daripada Pengerusi MAIS, Dato' Salehuddin Saidin dalam pelancaran buku koleksi terpilih titah ucapan Baginda.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.