Teater Muzikal Diraja Raja Lumu: Bina negara berdaulat

1 Nov 2026, 12:00 AM
Teater Muzikal Diraja Raja Lumu: Bina negara berdaulat
Teater Muzikal Diraja Raja Lumu: Bina negara berdaulat

Teater Muzikal Diraja Raja Lumu membawa khalayak mengembara merentasi masa dengan menyusuri perjalanan semangat Raja Lumu yang memikul amanah untuk membangunkan sebuah negeri berdaulat.

Pementasan sempena ulang tahun pemerintahan ke-25 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu dihidupkan hasil sentuhan kreatif barisan dramatis tanah air.

Mereka ialah Idham Hadi, Anwar Mohd Zulkifli, Ramzi Ramli, dan Dr Mohd Effendi Samsuddin. Penggiat seni berpengalaman itu menggabungkan pelbagai genre termasuk tradisonal, opera, kontemporari, moden dan pasca moden.

Naskhah tersebut juga dibangunkan berasaskan kajian serta rujukan pelbagai sumber dan penerbitan ilmiah tempatan dan antarabangsa bagi memastikan ketepatan fakta dan nilai sejarah.

Pementasan itu mengambil latar abad ke-18 sewaktu Selangor berada di persimpangan penting sejarah alam Melayu dengan memaparkan proses kebangkitan Raja Lumu sebagai Sultan Selangor yang pertama.

Perjuangan Baginda berlaku di tengah-tengah ketegangan perebutan pengaruh perdagangan, dominasi kuasa Bugis serta ancaman campur tangan syarikat dagang Belanda, Vereenigde Oostindische Compagnie (VOC) di Selat Melaka.

Ketika pengaruh asing kian mencengkam dan maruah negeri semakin terancam, Raja Lumu bersama-sama para pembesar berjuang demi memperoleh pengiktirafan sekali gus menubuhkan kesultanan yang berdaulat.

Persembahan tersebut sebenarnya memaparkan kisah perjuangan, kepimpinan dan perpaduan yang mengangkat nilai keberanian, pengorbanan dan semangat dalam membina negeri yang kekal hingga ke saat ini.

Karya berkenaan bukan sekadar sorotan silam, sebaliknya cermin pengajaran yang memperlihat ikhtiar dan keberanian berupaya membentuk serta memelihara warisan kedaulatan tanah air.

Pementasan berkenaan jelas menampilkan realiti politik Melayu tradisional yang berasaskan hubungan daulat, nobat, pengiktirafan dan jaringan kekeluargaan serantau.

Perjalanan mendapat pengiktirafan Kesultanan Perak memperlihat betapa Kesultanan Melayu bukan sekadar kuasa ketenteraan sebaliknya menggambarkan sistem legitimasi budaya dan adat yang rumit.

Naskhah tersebut juga memaparkan gambaran jarum penjajahan Barat sering bermula melalui proses perdagangan, hutang dan diplomasi sebelum perlahan-lahan berubah menjadi suatu bentuk penguasaan politik. Ia membawa simbol betapa penjajahan moden acapkali berlaku secara halus lagi sistematik.

Pementasan Teater Muzikal Diraja Raja Lumu dipentaskan sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, selain meraikan ulang tahun ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya di Audtiorium Dewan Sivik Masjlis Bandaraya Petaling Jaya pada 17 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Pementasan itu bukan sekadar kisah penubuhan negeri, sebaliknya tentang keberanian memilih maruah berbanding ketertundukan dan kewibawaan pemimpin yang memahami betapa kuasa sebenar terletak pada kemampuan memayungi dan menyatukan rakyat jelata.

Sebaik sahaja tirai dibuka, persembahan teater berkenaan membawa penonton menyelami zaman pergolakan apabila rakyat di pelabuhan dan perlombongan mula berpecah-belah akibat prasangka sesama sendiri.

Tatkala masyarakat Bugis, Jawa, Minang dan Sunda saling mencurigai sesama sendiri, Raja Lumu memilih untuk menyatukan hati seluruh rakyat menerusi peri kebijaksanaan, bukannya menakluk melalui panji kekuasaan.

Pendekatan Raja Lumu dalam menangani sesuatu konflik masyarakat menyerlahkan gaya kepimpinan yang memberi keutamaan kepada pemulihan hubungan sosial sebelum membina kuasa politik.

Watak Raja Lumu yang dijayakan Taqim Zaki dengan begitu cemerlang selaku tunjang utama pementasan tersebut juga meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Sebaliknya, watak Raja Ibrahim yang dijayakan Harith Jumat mewakili perspektif kepimpinan yang berasaskan ketegasan dan kekuatan langsung manakala watak Raja Haji tampil sebagai nada keseimbangan antara hikmah dan perjuangan.

Pertembungan dinamik antara watak tersebut menjadikan naskhah itu lebih manusiawi kerana setiap satu membawa tafsiran tersendiri tentang kuasa, amanah dan kelangsungan hayat sesebuah negeri.

Pementasan itu begitu terserlah lantaran penghayatan mendalam para pelakon lewat bait dialog, gerak-geri tubuh dan ekspresi wajah. Fiza Thomas yang memegang watak Raja Aifah antara tampil memukau menerusi penyampaian kata-kata yang begitu puitis dan menusuk kalbu.

Persembahan ini turut diperkuat dek kepintaran Dboy Hamdan yang melakonkan watak Pak Ajang, Hans Shahredza selaku Megat Alang dan Abdul Mutalif yang memegang watak Roger de La Ver dengan selitan dialog bahasa asing dan loghat Eropah yang unik.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyaksikan pementasan Teater Muzikal Diraja Raja Lumu di Audtiorium Dewan Sivik Masjlis Bandaraya Petaling Jaya pada 17 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Gabungan watak berkenaan bukan sahaja menghidupkan suasana, malah memartabat keindahan bahasa Melayu yang kedengaran puitis di pentas persembahan.

Naratifnya yang epik turut memanfaatkan simbolisme alam seperti gelombang laut, muara sungai, dan tiupan angin sebagai metafora perjuangan sejarah.

Setiap dialog dan lirik lagu pula digubah indah dalam bahasa Melayu dengan berinspirasi syair dan hikayat klasik, namun tetap kelihatan dinamik mengikut acuan teater moden.

Teater yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) antara 17 hingga 19 Julai turut menampilkan Artis Budaya dan Koir Gama Suara MBPJ.

Penyertaan mereka bukan sahaja menghidupkan suasana pementasan, malah menjadi medan terbaik dalam memberi ruang dan peluang untuk mengembangkan lagi bakat seni persembahan tempatan.

Pementasan itu bukan sekadar seni persembahan sebaliknya wadah menghubungkan sejarah dengan rakyat melalui gabungan lakonan, muzik, tarian, multimedia dan teknologi melalui pendekatan kreatif.

Kisah Raja Lumu itu dipersembah bagi menyemarakkan semangat cinta akan sejarah, memperkukuh jati diri dan memupuk penghargaan terhadap warisan bangsa khususnya dalam kalangan generasi muda.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Pemaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut mencemar duli menyaksikan persembahan berkenaan yang bertujuan memartabat sejarah, warisan dan kebudayaan negeri.

Teater tersebut diharap menjadi wadah yang berupaya memperkukuh penghargaan masyarakat terhadap Kesultanan Selangor serta pemangkin kepada pembangunan seni persembahan sekali gus menyemarakkan semangat untuk memelihara warisan sebagai khazanah yang perlu dihargai.

Pada Disember 2019, MBPJ dengan kerjasama Majlis Teater Selangor juga ada mementaskan teater berkaitan Raja Lumu bertajuk Bangsawan Raja Lumu: Legasi Berdaulat.

Persembahan bersempena bulan Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-74 itu berdasarkan karya Mior Sharul Mior Ismail dan diarahkannya sendiri dan dibantu Zuraida Hamsiah.

Fakta Raja Lumu. GRAFIK AZWA MALEK

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.