Selangor jamin kebajikan rakyat, terus buka peluang pekerjaan

11 Apr 2026, 2:00 PM
Selangor jamin kebajikan rakyat, terus buka peluang pekerjaan

KUALA LANGAT, 11 APRIL: Kerajaan Negeri komited memastikan rakyat terus mempunyai pekerjaan dan tidak terbeban meskipun negara berdepan krisis Asia Barat.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu berkata Selangor akan terus menganjurkan karnival kerjaya bagi menjamin peluang pendapatan serta kelangsungan hidup rakyat.

“Jika semua mendapat pekerjaan setanding dengan pendidikan sudah pasti kadar kemiskinan dapat dikurangkan tetapi keutamaan kita adalah menjaga kebajikan rakyat walau apa jua kerja mereka.

“Sebab itu fokus kita adalah menstabilkan pendapatan walaupun krisis melanda. Penganjuran karnival kerjaya bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor antara inisiatif Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui pada Karnival Jelajah JobCare Selangor daerah Kuala Langat di Kolej MCS, Banting hari ini. Sebanyak 30 syarikat menyertai karnival kerjaya dengan kerjasama PERKESO Selangor.

Dalam pada itu, beliau menyeru supaya mereka yang bekerja sendiri mencarum bersama PERKESO demi menjaga kebajikan sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

“Sekiranya kemalangan berlaku di tempat kerja, syarikat membuat caruman tetapi jika bekerja sendiri akan menjejaskan pendapatan keluarga terutama jika isteri tidak bekerja dan anak-anak bersekolah.

“Kita sarankan mereka buat caruman dan jika berlaku kemalangan PERKESO akan bantu keluarga yang terjejas,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.