SHAH ALAM, 11 APRIL: Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, meninggal dunia di hospital di Temerloh, Pahang hari ini.
Muhammad Amirul Raziq parah dipercayai dipukul suspek berpangkat koperal kerana tidak berpuas hati dengan kerja pembersihan stor senjata Kompeni C, Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong pada 30 Mac 2026.
Bapa mangsa, Rosafindi Tambi Chik, 49, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, lapor Berita Harian.
"Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi pada jam 9.45 pagi. Jenazah akan dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas di Negeri Sembilan," katanya
Sebelum ini, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan siasatan awal, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka dan perut tujuh anggota kem berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dilapor berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu.







