SHAH ALAM, 11 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan lanjut susulan kejadian tanah mendap di kawasan tempat letak kenderaan pusat beli-belah Ampang Point, semalam.
MPAJ menerusi Facebook memaklumkan, kejadian tersebut mengakibatkan sebuah kenderaan yang sedang diparkir terperangkap namun berjaya dialihkan ke lokasi selamat.
“Tindakan pengalihan dan menyelamat kenderaan yang terlibat dilaksanakan segera oleh Jabatan Penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan di lokasi kejadian terkawal.
“Susulan kejadian ini, tindakan lanjut akan dilaksanakan oleh Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Hasil bagi tujuan pemeriksaan, penilaian struktur serta tindakan pembaikan sewajarnya,” katanya.
Sehubungan itu, MPAJ menasihatkan orang awam sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan di kawasan terlibat.










