UNiSEL meterai MoU bangun pusat penyelidikan kenderaan elektrik

10 Apr 2026, 11:21 AM
UNiSEL meterai MoU bangun pusat penyelidikan kenderaan elektrik
UNiSEL meterai MoU bangun pusat penyelidikan kenderaan elektrik

SHAH ALAM, 10 APRIL: Universiti Selangor (UNiSEL) memeterai kerjasama bersama Qingdao Automotive Research Institute of Jilin University, China bagi memperkukuh penyelidikan serta latihan dalam bidang kenderaan tenaga baharu (NEV).

UNiSEL memaklumkan, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan kerjasama Consortium Technical Education (CONTeCT) itu sejajar dengan peralihan pesat industri automotif global ke arah teknologi yang lebih hijau dan lestari.

Menurut Presiden dan Naib Canselor UNiSEL, Prof Emeritus Ir Dato’ Dr Hassan Basri, kerjasama tersebut merupakan langkah signifikan dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan penyelidikan berteraskan teknologi masa hadapan.

Kerjasama itu juga, katanya, bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan teknologi, malah berpotensi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.

“Lawatan ini menandakan satu langkah penting ke arah membina potensi kerjasama antara institusi, khususnya dalam merealisasikan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Latihan Kenderaan Elektrik (EV) yang baharu di UNiSEL,” katanya menerusi kenyataan.

Majlis menandatangani MoU tersebut diadakan di UNiSEL, kelmarin, disempurnakan Dr Hassan, manakala Jilin University diwakili oleh Naib Presiden Eksekutifnya, Prof Dr Guo Fei, dan CONTeCT diwakili pengerusinya, Zaharan Ibrahim

Delegasi Jilin University dan CONTeCT turut dibawa melawat kampus Unisel, termasuk fasiliti makmal di Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat yang menjadi tunjang kepada pembangunan penyelidikan dan latihan teknikal universiti.

Sementara itu, Dr Guo Fei memaklumkan universiti tersebut telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Pendidikan Teknikal Kebangsaan Malaysia sejak 2024, sekali gus menjadikan projek berkenaan mempunyai asas kukuh untuk dilaksanakan.

“Pelaksanaan program latihan di Malaysia memberikan kelebihan strategik kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam memperluas akses pendidikan teknikal bertaraf antarabangsa,” katanya.

Kerjasama tersebut bakal menggabungkan pelbagai program latihan sedia ada antara kedua-dua universiti bagi mewujudkan model pembelajaran bersepadu yang menggabungkan teori, latihan industri dan pembangunan kemahiran praktikal yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.