MBPJ perkasa suara kanak-kanak dalam perancangan bandar

11 Apr 2026, 3:01 AM
MBPJ perkasa suara kanak-kanak dalam perancangan bandar

PETALING JAYA, 11 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus menggalakkan pembangunan bandar yang lebih inklusif dengan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan mereka.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata pengiktirafan Petaling Jaya sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak pada 2023 menunjukkan komitmen MBPJ dalam memastikan keperluan serta pandangan kanak-kanak diambil kira.

“MBPJ secara aktif melibatkan kanak-kanak melalui pelbagai platform termasuk sesi libat urus dalam Program Safer Route to School serta penubuhan Ahli Majlis Kanak-Kanak yang kini memasuki kumpulan keempat.

“MBPJ memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan serta terlibat dalam proses merancang dan membuat keputusan selaras dengan usaha mewujudkan inklusif dan mesra semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya 2030 di Pejabat Datuk Bandar, Menara MBPJ baru-baru ini.

Mohamad Zahri berkata, MBPJ turut menyediakan bengkel latihan bagi memperkasa kanak-kanak melalui pendedahan dalam pentadbiran, kewangan dan perancangan selain membina keyakinan diri serta tanggungjawab.

“Ahli Majlis Kanak-Kanak juga berperanan sebagai jurucakap MBPJ di sekolah masing-masing sekali gus menggalakkan penyertaan aktif rakan sebaya dalam menyuarakan idea dan pandangan.

“Kami percaya penglibatan kanak-kanak bukan sahaja membentuk bandar yang lebih baik malah melahirkan generasi yang lebih berdaya saing, berkeyakinan dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Mohamad Zahri berkata beberapa projek bandar telah dilaksanakan hasil idea kanak-kanak, termasuk pembinaan hentian bas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Assunta, Perpustakaan Permainan di kawasan B40 serta penambahbaikan ruang mesra kanak-kanak di Restoran Meng Yang Two.

Beliau berkata MBPJ turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dijemput Datuk Bandar Miyoshi, Isao Hayashi pada November 2024 untuk berkongsi pengalaman, selain menerima surat penghargaan selepas Petaling Jaya dicalonkan sebagai bandar mesra kanak-kanak oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

MBPJ juga merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang menerima pengiktirafan UNICEF sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak pada September 2023 selepas empat tahun usaha berterusan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.