SHAH ALAM, 10 APRIL: Sebuah ladang ternakan ayam di Batang Kali diarah tutup sementara selama dua minggu bermula 8 hingga 21 April ini susulan gangguan lalat yang menjejaskan penduduk sekitar.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan tindakan itu diambil oleh Unit Kawalan Alam Sekitar, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) di bawah Undang-Undang Kecil 43, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian.
"Tindakan itu diambil susulan aduan penduduk mengenai kacau ganggu lalat di kawasan perumahan berhampiran.
"Gangguan tersebut dipercayai berpunca daripada pengurusan tinja ayam yang tidak sempurna di ladang berkenaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut MPHS, sepanjang tempoh penutupan, syarikat tidak dibenarkan memasukkan ayam baharu ke dalam reban sehingga keadaan tapak disahkan memuaskan oleh pihak jabatan.
Selain itu, katanya, pengusaha turut diarahkan menyediakan pelan kawalan lalat serta pengurusan tinja ayam untuk tujuan penilaian.
"Bagi langkah jangka panjang, syarikat turut dicadangkan mempertimbangkan lokasi baharu bagi operasi ternakan ayam," katanya.
Sementara itu, MPHS menegaskan pihaknya komited dalam memastikan perniagaan mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk.








