SHAH ALAM, 9 APRIL: Aduan berulang terhadap longgokan barang kitar semula di sebuah premis berakhir dengan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) hari ini.
MBDK memaklumkan sebanyak 20 tan sisa barang kitar semula dilupuskan dalam operasi yang dijalankan di sebuah premis kediaman di Taman Mewah Jaya, Klang.
Menurutnya, operasi yang bermula seawal jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari itu dilaksanakan susulan aduan berterusan daripada penduduk melalui sistem i-Responz.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis gagal menguruskan longgokan barang kitar semula secara teratur sehingga menimbulkan gangguan kepada penduduk setempat selain berpotensi menjejaskan kebersihan dan keselamatan kawasan.

"Operasi bersepadu itu melibatkan beberapa jabatan termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran serta Jabatan Penguatkuasa MBDK bagi memastikan kerja pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh dan efisien," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MBDK, tindakan tersebut diambil bagi melindungi kesejahteraan komuniti setempat daripada ancaman penyakit berjangkit selain mengurangkan risiko kebakaran yang boleh berpunca daripada timbunan bahan mudah terbakar.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjadikan premis kediaman sebagai lokasi penyimpanan barang kitar semula secara berlebihan sehingga menjejaskan persekitaran.
"Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan tegas diambil," katanya.
Tegas MBDK, usaha berterusan ini selaras dengan komitmennya dalam memastikan kebersihan serta kelestarian persekitaran bandaraya itu terus terpelihara.








