Peniaga Teluk Pulai cadang sistem pembatalan automatik tangani penyewa ingkar

13 Okt 2026, 8:00 AM
Peniaga Teluk Pulai cadang sistem pembatalan automatik tangani penyewa ingkar
Peniaga Teluk Pulai cadang sistem pembatalan automatik tangani penyewa ingkar
Peniaga Teluk Pulai cadang sistem pembatalan automatik tangani penyewa ingkar

KLANG, 13 OKT: Peniaga di Teluk Pulai menggesa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyediakan lebih banyak lot perniagaan serta menambah baik sistem pengurusan dalam talian, termasuk memperkenalkan pembatalan automatik bagi penyewa yang gagal menjelaskan bayaran.

Tinjauan Media Selangor di Tapak Penjaja Simpang Empat mendapati kebanyakan peniaga kini menggunakan sistem dalam talian untuk urusan lesen, namun pengurusan sewaan masih memerlukan penambahbaikan.

Peniaga Shukri Muslim Maulana, 33, yang sudah dua tahun berniaga di kawasan itu berkata sistem pembatalan automatik wajar diperkenalkan bagi membolehkan lot yang tidak lagi digunakan ditawarkan dengan lebih cepat kepada peniaga baharu.

Menurutnya, prosedur sedia ada memerlukan penyewa terdahulu mengemukakan surat pembatalan lesen dan sewaan kepada MBDK sebelum tapak berkenaan boleh ditawarkan kepada pemohon lain.

Peniaga, Shukri Muslim Maulana. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

"Kebiasaannya, apabila peniaga (di tempat lain) berhenti membayar, pihak berkuasa akan membatalkan sewaan mereka secara automatik, tetapi sistem seperti itu belum dilaksanakan di sini.

"Bagi peniaga baharu, mereka perlu menunggu penyewa terdahulu menghantar surat pembatalan kepada MBDK untuk membatalkan lesen dan sewaan tapak.

"Selepas permohonan itu dikemukakan dan diluluskan, barulah peniaga baharu boleh masuk. Sepatutnya proses ini lebih mudah memandangkan kebanyakan permohonan kini boleh dibuat secara dalam talian," katanya.

Sementara itu, Asri Yakub, 43, yang berniaga di kawasan berkenaan sejak 2021 mencadangkan supaya lebih banyak lot atau tapak penjaja disediakan bagi menampung permintaan peniaga baharu.

"Sebaik-baiknya, kerajaan membuka lebih banyak tapak perniagaan yang dikhaskan untuk menempatkan peniaga yang masih belum mempunyai lesen atau lot berniaga," katanya.

Peniaga, Asri Yakub. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Asri turut mengakui proses memperbaharui lesen kini lebih mudah berbanding sebelum ini berikutan pelaksanaan sistem digital.

"Pada awalnya, kami perlu membuat permohonan menggunakan borang fizikal. Kemudian, sekitar 2024, sistem digital diperkenalkan.

"Sejak itu, urusan permohonan lesen menjadi sangat mudah kerana semuanya dikendalikan menerusi sistem digital," katanya.

Seorang lagi peniaga, Tan Chin Lee, 63, pula berharap MBDK dapat mempertimbangkan pengurangan kadar bayaran lesen perniagaan.

"Dahulu, bayaran lesen murah tetapi sekarang sudah meningkat. Kalau boleh, kurangkan sedikit supaya lebih ramai mampu mendapatkan lesen perniagaan," katanya.

Peniaga, Tan Chin Lee. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Pada Disember 2024, MBDK mengumumkan urusan pembaharuan lesen bagi 2025 hanya boleh dilakukan secara dalam talian bagi mempercepat dan memudahkan proses berkenaan kepada peniaga.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.