SHAH ALAM, 9 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempelawa pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 memohon tajaan pendidikan Dermasiswa Khas Pengajian Tinggi Selangor bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Selangor (UIS).
Inisiatif melalui Bahagian Pendidikan Islam itu membuka peluang kepada calon berkelayakan untuk menyambung pengajian dalam bidang strategik berkaitan agama dan pendidikan.
Antara program ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Dengan Multimedia bersama Diploma Pendidikan Pasca Siswazah, Ijazah Sarjana Muda Bahasa Al-Quran bersama Diploma Pendidikan Pasca Siswazah serta Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang.
Tawaran itu bertujuan melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang pengajian Islam selari dengan keperluan semasa.
Permohonan terbuka kepada calon STAM yang memperoleh pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik), selain memenuhi syarat akademik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Calon juga perlu memperoleh kepujian dalam Bahasa Melayu, lulus Bahasa Inggeris dan sekurang-kurangnya gred B dalam Bahasa Arab.
Menariknya, pelajar yang berjaya menerima tajaan akan mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab di luar negara selama tiga bulan anjuran Islamic Educational Science and Cultural Organization (ICESCO).
“Semua pelajar yang ditaja akan mendapat manfaat Kursus Intensif Bahasa Arab anjuran ICESCO di luar negara selama tiga bulan,” menurut JAIS menerusi Facebook.
Permohonan dibuka dalam dua sesi iaitu dari 4 April hingga 22 Mei bagi pengambilan pertama, manakala pengambilan kedua bermula 3 Ogos hingga 5 Oktober.
Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi https://epengajiantinggi.jais.gov.my/









