SUBANG JAYA, 8 APRIL: Bekalan makanan di Pasar Borong Selangor kekal mencukupi dengan harga barangan masih terkawal walaupun negara berdepan tekanan kenaikan harga minyak global.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi berkata tinjauan di pasar itu mendapati stok makanan termasuk beras, ikan, ayam, daging, kambing, sayur-sayuran dan makanan laut berada pada tahap memuaskan serta mudah diperoleh.
Beliau yang melakukan tinjauan bersama pengurusan Pasar Borong Selangor iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), turut diberikan taklimat mengenai operasi semasa serta status bekalan yang kekal stabil.

“Kita sedang mengalami satu krisis di Timur Tengah yang menyebabkan kenaikan harga petrol dan diesel. Sudah pasti ia berhubung kait dengan harga bekalan makanan kita.
“Hari ini kita boleh lihat sendiri dan tanyakan kepada peniaga, harga barang makanan seperti ikan, ayam daging terkawal dan tidak melonjak tinggi. Masih lagi mengikut harga yang sebelum ini dan stok makanan kita sangat mencukupi.
“Jadi saya kira, walaupun kita dalam keadaan krisis global, Alhamdulillah pengurusan negara dan negeri kita terutama daripada segi stok makanan terjaga dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan itu hari ini.
Menurutnya, maklum balas pembeli juga menunjukkan mereka berpuas hati dan tidak merasakan kenaikan harga yang mendadak.

Jelasnya, kenaikan harga bagi sesetengah barangan seperti ikan tertentu adalah kecil dan dipengaruhi faktor permintaan dan penawaran.
Sementara itu, Pengurus Pasar Borong Selangor dan Bazaar Rakyat PKPS, Mazlan Sahran berkata bekalan makanan di pasar berkenaan stabil kerana diperoleh daripada pelbagai sumber.
Menurutnya, kompleks Pasar Borong Selangor mempunyai 320 lot perniagaan meliputi sektor daging, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan kering.
“Setakat ini, berkaitan bekalan makanan di pasar borong ini tiada masalah sebab ia diambil daripada banyak pembekal dan pelbagai tempat. Selain kawasan Selangor sendiri, ada juga dari luar Selangor malah luar negara.
“Contohnya bekalan ikan, selain di Pulau Ketam, Sekinchan, Pasar Besar Kuala Lumpur ada yang ambil di Indonesia dan Thailand. Jadi daripada seperti ikan, sayur dan juga barang-barang lain tiada masalah,” katanya.

Mazlan turut memaklumkan pemantauan harga dilakukan secara berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa bagi memastikan tiada kenaikan melampau.
“Tidak perlu ada pembelian panik sebenarnya, di sini semua dalam keadaan terkawal,” katanya.











