SHAH ALAM, 7 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesan aktiviti jualan beroperasi tanpa permit sah dalam pemantauan berkala di sebuah pasar raya besar malam tadi.
Menurut MPAJ, operasi dijalankan melalui Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan itu mendapati dua aktiviti jualan barangan elektrik beroperasi tanpa permit sekali gus dikenakan tindakan kompaun tred.
"Tindakan kompaun tred telah dikenakan terhadap dua aktiviti jualan barangan elektrik yang tidak mempunyai permit sah," katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, semua peniaga diingatkan memastikan aktiviti perniagaan mempunyai lesen atau permit sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan serta menjamin persekitaran perniagaan yang teratur dan adil.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ di mpaj.spab.gov.my atau talian 1-800-22-8100.








