SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan tiga kompaun menerusi Operasi Cegah Denggi di lokaliti hotspot Apartment 600, Taman Lembah Maju, Ampang, 3 Oktober lalu.
MPAJ memaklumkan operasi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat (PKDHL) dilaksanakan susulan 20 kes denggi direkodkan di lokaliti berkenaan dalam tempoh wabak semasa selama 34 hari.
“Hasil pemeriksaan melibatkan 638 premis dilawati, 137 premis diperiksa dan 501 premis didapati tutup,” menurut kenyataan di Facebook.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, tiga kompaun dikeluarkan melibatkan dua kes pembiakan di tangki air di Blok C dan Blok D serta satu kes membabitkan tong cat di No 34A, Jalan Maju 2/3.
Hasil operasi turut menemukan tiga bekas positif pembiakan Aedes.
Aktiviti larvasiding pula membabitkan pemeriksaan terhadap 710 bekas di kawasan luar, namun tiada bekas positif ditemukan.
MPAJ memaklumkan operasi merangkumi Blok A hingga F, kawasan perumahan Jalan Maju 2/1, Jalan Maju 2/3 serta kawasan padang berhampiran.
“Operasi turut disertai 15 kakitangan PBK MPAJ, enam pegawai PKD Hulu Langat serta Terminex Pest Control Sdn Bhd bagi menjalankan kawalan pembiakan nyamuk di kawasan kebun berhampiran Blok C,” katanya.
Menurut MPAJ, tindakan bersepadu itu dilaksanakan bagi mengawal pembiakan nyamuk di kawasan terbabit.
MPAJ berkata pelaksanaan operasi mencerminkan usaha pihaknya membanteras penularan denggi selain memastikan persekitaran lebih bersih, selamat dan sihat untuk masyarakat.









