SHAH ALAM, 7 APRIL: Pelbagai pihak berkepentingan termasuk melawat tapak Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibu negara, pagi tadi bagi memperhalusi cadangan projek menaik taraf fasiliti berkenaan.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) berkata lawatan itu bertujuan meneliti isu-isu berbangkit dan penyelesaian terbaik dengan mengambil kira aspek keselamatan, kepentingan awam serta sensitiviti komuniti setempat.
"Pendekatan libat urus seperti ini amat penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara inklusif, berhemah dan seimbang, selain memperkukuh persefahaman antara semua pihak berkepentingan," kata V Papparaidu dalam hantaran di Facebook.

Selain LIMAS, lawatan pag tadi turut disertai wakil Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Ahli Majlis, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Unit Tanah dan Penswastaan Kementerian Dalam Negeri, serta pihak pengurusan Kuil Sri Maha Veppang Karumariamman dan Malaysia Hindu Sangam.
Turut hadir, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dr Che Ghazali Che Awang, Ajutan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Superintendan Shahrizal Ajmil serta pegawai kanan lain.
Dalam masa sama, Papparaidu berkata lawatan tapak itu turut memberi peluang kepada semua pihak menilai keadaan sebenar di lokasi bagi menyokong proses membuat keputusan yang lebih tepat dan menyeluruh.
"Diharapkan agar usaha ini dapat menghasilkan penyelesaian yang konstruktif dan mampan demi menjamin keselamatan, serta mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama," katanya.








