SHAH ALAM, 7 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan enam notis kesalahan terhadap individu yang didapati membuang sampah di rizab jalan sekitar daerah itu, semalam.
Menurut MPKL, tindakan tersebut diambil menerusi pemantauan kamera litar tertutup serta operasi penguatkuasaan berterusan bagi memastikan kebersihan kawasan awam terus terpelihara.
“Kawasan yang terlibat adalah rizab Jalan Akasia, Kampung Jenjarom, rizab Jalan Persiaran Banting Baru Utama, Taman Banting Baru dan rizab Jalan Haji Amin, Kampung Labohan Dagang.
“MPKL akan terus komited dalam memastikan persekitaran Kuala Langat kekal bersih dan selamat demi kesejahteraan masyarakat setempat,” menurut MPKL dalam hantaran di Facebook.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil 3(a) Mencegah Kekotoran MDKL 1994, yang memperuntukkan kompaun sehingga RM1,000 terhadap pesalah.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti pembuangan sampah haram boleh menyalurkan laporan melalui saluran berikut:
laman aduan rasmi: mpkl.spab.gov.my
hubungi talian: 012-300 4130








